The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Sean Selvaraj Memandang Tinggi Coach Karsten

Nov 19, 2020 - FAS

Perlantikan Karsten Neitzel sebagai pengendali terbaharu pasukan Selangor pada awal minggu ini telah mendapat reaksi positif dari kem Gergasi Merah.

Beliau yang menggantikan tempat B.Sathiananthan yang meninggalkan posisi tersebut pada September yang lalu diharap dapat mengembalikan semula kegemilangan Selangor dengan menerapkan DNA bola sepak yang baharu dan program pembangunan bola sepak yang lebih sistematik.

Karsten yang telah tiba di Selangor sejak Oktober lalu, telah berkesempatan bertemu dengan para pemain Selangor dalam beberapa sesi latihan terakhir pasukan sebelum kejohanan TM Piala Malaysia dibatalkan.

Bercakap kepada media FA Selangor, Sean Selvaraj, pemain penyerang skuad utama Selangor berkongsi keterujaan beliau dan memandang tinggi kepada pengalaman yang dimiliki oleh pengendali dari Jerman itu.

“Pertama kali berjumpa, beliau sangat ramah dan jujur dengan kata-katanya. Beliau juga mempunyai banyak pengalaman di pentas Eropah dan Asia, jadi saya berharap dapat belajar banyak darinya dan memperbaiki dalam apa jua aspek,” kata Sean.

Sean juga berharap agar pendekatan yang akan dibawa oleh ketua jurulatih dari Jerman itu bakal meningkatkan kualiti permainan skuad utama Selangor, seterusnya membantu prestasi Gergasi Merah secara keseluruhan.
 
“Saya harap dapat berikan apa yang Karsten Neitzel perlukan untuk pasukan, terutamanya dalam bahagian aspek serangan, selain membantu jentera pertahanan dengan baik,” tambahnya lagi.
 
Sean yang telah bersama Selangor sejak musim 2018 telah pun melakukan 53 penampilan dalam jersi Gergasi Merah setakat ini.
 
Beliau juga telah dipilih sebagai pemain terbaik dalam salah satu perlawanan CIMB Liga Super musim ini setelah menjaringkan 2 gol dan mencipta 3 ‘assists’ dalam kemenangan besar 7-0 menentang PDRM FA.

Semoga Sean dan rakan-rakan sepasukan yang lain akan memberikan sepenuh komitmen kepada Coach Karsten untuk persiapan musim baharu liga bola sepak Malaysia yang dijadualkan bakal kembali pada Februari tahun hadapan.

 

Baca pengumanan rasmi Karsten sebagai ketua jurulatih baru di sini.

Tonton video temubual eksklusif Coach Karsten di sini.

Galeri foto hari pertama Coach Karsten di sini.